Penandatanganan kontrak perjanjian pembinaan rumah bantuan YSHHB




Oleh : Marlinawaty Hussin / Foto : Mohd. Sahrizal Haji Said





BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 27 April. - Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (YSHHB) hari ini menandatangani kontrak perjanjian bagi pembinaan lima buah rumah bantuan di bawah Skim Bantuan Perumahan YSHHB yang dikontrakkan kepada Syarikat Impian Reka Bina Sendirian Berhad.


Rumah bantuan tersebut dibina dalam bentuk banglo yang mempunyai tiga buah bilik tidur, sebuah dapur, sebuah bilik tamu dan sebuah tandas.


Projek pembinaannya yang melibatkan sebanyak empat buah rumah di Daerah Brunei Muara serta sebuah rumah di Daerah Belait yang akan bermula pada bulan Mei 2026 dan dijangka siap sepenuhnya pada bulan Oktober 2026.


Konsep dan reka bentuk rumah bantuan berkenaan menampilkan ciri-ciri moden dan selaras dengan perkembangan teknologi semasa dalam pembangunan rumah kos rendah, di samping membolehkan pembinaannya disiapkan dalam tempoh yang lebih singkat.


Majlis menandatangani kontrak perjanjian tersebut diadakan di Dewan Serbaguna, Kompleks YSHHB, di ibu negara.


Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah, diikuti dengan penandatanganan kontrak perjanjian antara YSHHB dan syarikat yang dilantik iaitu Syarikat Impian Reka Bina Sdn. Bhd.


Menandatangani bagi pihak YSHHB ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Nazmi Mohamad selaku Ahli Lembaga Pengarah YSHHB dan Pengerusi Jawatankuasa Meneliti Bantuan YSHHB; serta Setiausaha Tetap di Kementerian Pembangunan, Dr. Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak selaku Pemangku Pengarah Urusan YSHHB.


Penandatanganan tersebut disaksikan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar merangkap Pemangku Pengerusi Lembaga Pengarah YSHHB selaku tetamu kehormat majlis.


Salah satu tujuan penubuhan YSHHB dalam bidang kebajikan adalah untuk mempertingkatkan kualiti kehidupan dan kesejahteraan rakyat melalui penyediaan skim bantuan kepada golongan yang memerlukan termasuk skim bantuan perumahan.


Penyediaan bantuan perumahan kepada golongan yang memerlukan adalah selaras dengan tujuan penubuhan YSHHB dalam bidang kebajikan. Bantuan ini juga sejajar dengan salah satu Matlamat Strategik YSHHB iaitu Mengimbangi Pemedulian Keperluan Asasi.


Projek bantuan perumahan di bawah Skim Bantuan Perumahan YSHHB dikhususkan kepada rakyat yang kurang berkemampuan serta keadaan tempat tinggal mereka berada dalam keadaan daif dan tidak selamat untuk didiami. Bantuan ini juga dihasratkan bagi memberikan peluang untuk mereka memperbaiki taraf hidup.

Sejak pelaksanaan projek bantuan perumahan di bawah Skim Bantuan Perumahan YSHHB pada tahun 1996 hingga kini, sebanyak 186 buah rumah telah dibina di seluruh negara.

Inisiatif ini telah memberikan harapan baharu kepada 186 keluarga untuk meneruskan kehidupan harian dalam persekitaran yang lebih selesa dan selamat.


Acara diteruskan dengan Majlis Penyampaian Sumbangan Kewangan kepada Mangsa Bencana Alam.


Dalam majlis tersebut, YSHHB telah menyampaikan sumbangan berjumlah keseluruhan BND10,950 kepada tiga buah keluarga yang terjejas akibat bencana alam di beberapa buah kampung di Daerah Brunei dan Muara.


Para penerima terdiri daripada Dayang Masadira binti Sahat @ Md. Sahat, dari Kampung Lambak 'A'; Awang Shahminan bin Haji Besar, Kampung Perpindahan Serasa; dan Awang Juni bin Haji Mahrop, Kampung Setia 'A'.


Selaras dengan hasrat murni penubuhannya, YSHHB sentiasa menzahirkan keprihatinan terhadap golongan yang kurang bernasib baik termasuk mereka yang terjejas akibat musibah seperti kebakaran rumah dan rumah roboh.


Sumbangan yang disampaikan ini merupakan bantuan segera yang dihasratkan dapat meringankan beban mangsa serta membantu mereka meneruskan kehidupan seharian.


Turut hadir di majlis ini ialah pegawai-pegawai kanan di jabatan-jabatan kerajaan yang berkenaan, serta pegawai-pegawai dan kakitangan YSHHB.


YSHHB merupakan wadah amal jariah dan derma khairat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, bersama ahli kerabat diraja.


Penubuhannya mencerminkan keprihatinan dan kasih sayang baginda terhadap rakyat, di samping menyumbang ke arah pembentukan masyarakat yang sejahtera dan makmur di Negara Brunei Darussalam.

Close